BERCUTI ALA GLAMPING DI PASIR PUTEH RESORT, KALUMPANG
Salam semua, hari ini saya ingin berkongsi sedikit tentang pengalaman saya bercuti di salah sebuah tempat menarik untuk bermandi-mandi di sungai. Sedikit pengetahuan untuk semua bahawa negeri Selangor turut mempunyai lokasi-lokasi yang menarik untuk diterokai bagi menghabiskan masa semasa cuti terutamanya bersama keluarga tercinta. Tambahan pula, lokasi ini telah menjadi salah satu lokasi kegemaran kami sekeluarga kerana suasana yang indah ditambah pula pelbagai pokok-pokok yang rimbun membuatkan kami berasa tenang untuk menghirup udara yang segar.
Pasir Puteh Resort merupakan salah satu tarikan pelancongan yang menarik di Hulu Selangor. Lokasi resort ini terletak 1km sebelum tiba di Kalumpang Resort & Training Centre iaitu di Lot 92 Jalan Sg Inki, Kg Pasir Putih, Kalumpang 44100 Kerling, Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan. Di samping itu pula, resort ini dikelilingi oleh Sungai Inki yang sejuk dan nyaman sambil menikmati air terjun yang deras mengalir.
Pasir Puteh Resort ini dimiliki oleh Kalumpang Resort and Traingin Centre yang jarak antara dua kawasan pelancongan tidak jauh antara satu sama lain. Keluasan kawasan Pasir Puteh Resort sedikit luas dan kondusif bagi tujuan perkhemahan kerana mempunyai tanah yang landai dan berhampiran dengan sungai. Oleh sebab itu, resort ini telah menjadi pilihan yang utama bagi orang yang gemar berkhemah di dalam hutan khususnya.
Kemudahan yang terdapat di resort ini sangat banyak dan memudahkan para pelancong untuk menggunakannya menginap selama beberapa hari. Sebagai contoh, tandas, tempat memasak, surau terbuka serta kemudahan dewan untuk acara tertentu dan boleh memuatkan sehingga 500 orang dalam satu-satu masa. Selain itu, kemudahan chalet turut disediakan bagi sesiapa yang tidak berminat untuk berkhemah. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan kerana mampu milik untuk semua golongan. Sebanyak 8 chalet disediakan di sini dan boleh memuatkan seramai empat orang hingga lapan orang.
Pasir Puteh Resort ini bukan sahaja untuk tujuan bercuti sahaja malah turut dijadikan sebagai tempat perkhemahan bagi unit-unit beruniform di Malaysia. Hal ini kerana, tempat yang sunyi dan tenang dapat meningkatkan tahap konsentrasi untuk berlatih di dalam hutan.
Pada 29 Ogos 2023, merupakan trip percutian kami sekeluarga bersama makcik dan pakcik saudara bercuti ke Pasir Puteh Resort ini. Lokasi ini pakcik dan makcik saudara kami yang mengesyorkan kerana telah tiba disana banyak kali pada sebelum ini. Hal ini kerana, kawasan yang cantik dan sunyi membuatkan mereka lebih tertarik untuk pergi ke lokasi ini sebagai tempat menghabiskan semasa bercuti. Jarak dari kawasan rumah kami ke resort ini tidaklah jauh lebih kurang dalam 45 minit sahaja dan mengikut lebuhraya bagi menjimatkan masa untuk sampai ke sana. Keterujaan kami untuk sampai ke resort ini sangat membuak-buak kerana sudah lama tidak pergi untuk menghabiskan masa di hutan sambil bermandi-manda di sungai.
Resort ini juga mengenakan tiket kemasukan RM10 sekepala bagi dewasa dan RM 5 bagi kanak-kanak dan warga emas dan ini sangat berpatutan kerana boleh berada di dalam resort pada bila-bila masa sahaja tanpa ragu-ragu. Ahli keluarga termasuk pakcik dan makcik kami sangat ramai dan ini menambahkan keterujaan kami untuk bercuti bersama-sama.
Pasir Puteh Resort ini sangat terkenal dengan air sungai yang sejuk dan tidak dalam. Keadaan airnya juga tidaklah berbatu seperti sungai-sungai yang berdekatan dengannya. Perkara ini sangat memberikan kami sekeluarga berasa seronok kerana tidak perlu risau untuk bermandi-manda. Air sungai yang tidak begitu deras membuatkan kami ingin teruja bermain air sepuas-puasnya kerana ingin merasi kesejukan air sungai yang sebenar. Tambahan pula, air sungai yang sejuk dapat memberikan sedikit ketenangan dan melepaskan segala masalah yang kami hadapi ketika sibuk dengan urusan masing-masing. Oleh itu, kami berendam di dalam air untuk melegakan dan menenangkan hati dan fikiran yang selama ini membelenggu di dalam pimikiran.
Seperti gambar di atas, itu merupakan aktiviti yang kami laksanakan iaitu meloncat dari tali untuk terjun ke dalam sungai. Aktiviti ini sangat sesuai untuk golongan kanak-kanak dan remaja untuk merasai sendiri terjun ke dalam sungai pada kedudukan yang tinggi. Saya terumanya kali pertama berbuat demikian kerana sebelum ini sangat takut apabila berada pada kedudukan yang lebih tinggi. Jadi, pengalaman ini sangat berharga buat diri saya sendiri untuk mencabar ketakutan saya. Saya bersama dengan anak saudara melakukannya berkali-kali kerana berasa seronok untuk meloncat ke dalam sungai. Gelagat anak-anak saudara mengalahkan orang dewasa seperti saya kerana mereka dapat melakukannya sepuas-puasnya.
Selain itu, resort ini juga mempunyai jambatan di tengah-tengah sungai bagi memudahkan para pelancong untuk melihat kawasan-kawasan di sebelah sana bagi menerokai sendiri keunikan yang ada di tengah-tengah hutan ini. Saya sendiri berkesempatan untuk melihat tempat-tempat lain bagi merasai bagaimana suasana di hutan.
Akhir kata, percutian ke Pasir Puteh Resort di Hulu Selangor ini sangat memberi makna kepada kami semua dan ingin datang sekali lagi sekiranya ada masa yang terluang. Keseronokan yang kami alami perlu dirasai sendiri oleh orang lain dan tidak hanya mengetahui di telinga sahaja. Oleh itu, harapan saya rebutlah peluang untuk meneroka kawasan-kawasan percutian di sungai agar suasana di hutan dapat menjadi pengalaman dalam seumur hidup.
Ulasan
Catat Ulasan